SEMPADAN TANAH HARAM MAKKAH

KISAH PENYEMBELIHAN DI DALAM AL QURAN

Setelah Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s berpindah dari negeri kaumnya, beliau memohon kepada Allah s.w.t supaya dikurniakan seorang anak yang soleh, lalu Allah s.w.t mengembirakannya dengan mengurniakan seorang anak yang cantik iaitu Nabi Ismail a.s yang dilahirkan ketika Nabi Ibrahim a.s berumur 86 tahun. Setelah Nabi Ismail a.s meningkat dewasa, Nabi Ibrahim a.s telah bermimpi menyembelih anaknya, dimana telah ditetapkan bahawa mimpi para Nabi adalah Wahyu. Ini merupakan ujian yang besar daripada Allah s.w.t terhadap Nabi Ibrahim a.s sebagaimana firman Allah s.w.t: yang bermaksud: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu.

Lalu Nabi Ismail a.s menjawab sebagaimana firman Allah s.w.t: yang bermaksud: Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah engkau akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar. Dikatakan kedua-duanya telah berserah diri sebagaimana firman Allah s.w.t: yang bermaksud: Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami). Setelah kedua-duanya berserah diri untuk menjalankan perintah Allah dan berazam dengan bersungguh-sungguh, Allah s.w.t telah menyeru dan memberikan khabar yang mengembirakan melalui Malaikat.

Sebagaimana firman Allah s.w.t: yang bermaksud: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu, demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian, salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha melakukan kebaikan, sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Setelah tercapai maksud ujian terhadap Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s serta mereka berdua bersegera untuk menunaikan perintah Allah s.w.t lalu Allah Taala mengantikan dengan seekor kibas putih yang mempunyai mata dan tanduk yang sempurna sebagai tebusan daripada menyembelih anaknya. Nabi Ibrahim a.s mendapati kibas tersebut terikat di sebatang pokok berhampiran bukit Thabir lalu menyembelihnya di Mina. Tempat ini telah dijadikan sebagai tempat mengerjakan ibadat Haji dan sunat berkorban bersempena dari peristiwa Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s serta berterusan sehingga kepada nabi kita Muhammad s.a.w.

TANAH HARAM MAKKAH

Kelebihan-kelebihan Mekah Mukarramah:

Allah Tabaraka Wa Taala menamakannya Ummul Qura berpandukan firman Nya:

Yang bermaksud: Supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummul Qura (Mekah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya.

Ia juga dinamakan dengan al-Baladul Amin (negeri yang aman) di dalam firman Allah s.w.t:

Yang bermaksud: Demi buah tin dan zaitun dan bukit Tur Sina serta negeri (Mekah) yang aman ini.

Juga firman Allah Taala:

Yang bermaksud: Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini; sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas).

Di antara namanya juga ialah Baitul Atiq dimana Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman:

Yang bermaksud: Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

Firman Nya juga:

Yang bermaksud: Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal kehidupan).

Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s telah berdoa untuknya (Kaabah) dengan ucapannya:

Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata:
Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Mekah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah aku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. Dan firmannya lagi yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (a.s.) berdoa dengan berkata:
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:

(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.

Allah Taala berfirman:

Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjidil Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk serta sujud”.

Allah berfirman melalui kata-kata Nabi Ibrahim a.s:

Yang bermaksud: (Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya).

Ketika kaum Quraisy mengusir Rasulullah s.a.w, baginda telah berdiri di atas sebuah bukit sambil memandang ke arah Kota Mekah serta perkampungan-perkampungannya lalu berkata: Sesungguhnya aku mengetahui bahawa engkau adalah negeri yang aku amat kasihi dan engkau juga adalah tanah yang Allah amat kasihi. Sekiranya bukan kerana orang-orang musyrikin mengusir aku darimu tentu aku tidak akan keluar.

Terdapat riwayat di dalam dua kitab sahih: Bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan negeri ini (Kota Mekah) sewaktu Dia menciptakan langit dan bumi, Allah mengharamkannya berterusan hingga ke hari Kiamat.

Rasulullah s.a.w juga telah berdiri di Jamrah Aqabah pada tahun pembukaan Kota Mekah lalu bersabda: Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik bumi Allah dan engkau juga adalah bumi Allah yang paling aku kasihi, sekiranya aku tidak diusir tentu aku tidak keluar, sesungguhnya dalam Kota Mekah tidak dihalalkan kepada sesiapapun sebelum aku, juga tidak dihalalkan kepada sesiapa selepasku dan aku sendiri hanya dihalalkan seketika sahaja pada waktu siang hari, kemudian ia diharamkan, pokok yang ada padanya tidak boleh ditebang atau mencabut tumbuhan kecil, barang yang hilang atau binatang yang sesat tidak boleh diambil kecuali orang yang ingin mengumumkannya.

Mekah adalah merupakan Tanah Haram Allah dan Tanah Haram Rasulullah s.a.w di mana di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim.

 

Keutamaan Tanah Haram Makkah dan Masjidil Haram

Pahala kerana mengerjakan satu sembahyang di sini bersamaan seratus ribu sembahyang di tempat lain, sabda Rasulullah s.a.w:-

“ صلاة فى مسجدي هذاافضل من الف صلاة فيما سواه الا المسجد الحرم, وصلاة فى المسجد الحرم افضل من  صلاة فى مسجدي هذا بما ئة صلاة”

“satu sembahyang yang dilakukan dimasjidku adalah lebih utama daripada seribu sembahyang ditempat lain kecuali Masjidil Haram. Dan satu kali sembahyang di Masjidil Haram pula adalah lebih afdal daripada sekali sembahyang dimasjidku ini dengan pahala seratus kali ganda”

Al Tabrani meriwayatkan hadith berhubung  ini daripada Abu Darda’”sembahyang di Masjidil Haram adalah memperolehi  seratus ribu pahala,sembahyang di Masjid Nabawi seribu pahala dan sembahyang di Masjidil Aqsa sebanyak lima ratus pahala”. Maka tidak perlulah seseorang itu bermusafir ke tempat tempat lain selain dari tiga masjid ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:-

“لا تشد الرحال الاالى ثلاثة مساجد: المسجد الحرم, ومسجدي هذا, والمسجد الا  اقصى”

“Tidaklah perlu seseorang itu bersusah payah merantau bermusafir kecuali untuk menuju ke tiga masjid iaitu al Masjid al Haram, Masjidku ini dan Masjid al Aqsa”

 

NAMA NAMA MAKKAH

Tidak diketahui negeri lain yang mempunyai banyak nama selain dari Mekah dan Madinah, ini disebabkan kedua-duanya merupakan tempat yang paling mulia. Di antara nama-nama bagi negeri Mekah Mukarramah ialah:-

1. Balad

2. Baladul Amin

3. Bakkah

4. Makkah

5 .Qaryah

6  Masjidilharam

7 .Ma’aad

8. Ummul Qura

9 .Makhraja Sidqin

10.Bassah

11.Basaq

12 Nama-nama tambahan:

Barrah – Ar-Raks – Ar-Ritaj – Sabuhah – Salam – Salah – Tibah – Al-Azra’ – Al-Arsyu – Al-Arisy – Al-Arudh – Faran – Al-Muqaddasah – Al-Qadis – Qarbatul Hima – Qarbatul Naml – Tukratul Ghurab – Kutha – Al-Makkatan – Nadir – Al-Wadi – Ummu Rahim – Ummu Ruhm – Ummu Ar-Ruhm – Ummul Rahamat – Ummu Rauh – Ummu Zuhm – Ummu Sabih – Ummu Kutha. An-Nasah – An-Nasyah:                                 Kerana ia mengeluarkan zionis yang berada di dalamnya, iaitu mengusirnya.  AN-Nassasah:Kerana airnya berkurangan disebabkan terkeluar iaitu kekeringan.

 

NAMA NAMA MASJIDIL HARAM

Masjidilharam mempunyai banyak nama, di antaranya ialah:

1. Baitulharam

2. Kaabah  – Dinamakan dengan nama Kaabah: Kerana bentuknya adalah empat persegi, setiap binaan yang tinggi dan berbentuk empat persegi dinamakan Kaabah.

3. Masjidilharam

4. Baniyyah

Allah namakan Masjidil haram dengan Baitul-Atiq kerana Dia telah membebaskannya daripada golongan penceroboh yang degil lagi zalim, golongan ini tidak dapat memasukinya. Dikatakan juga kerana binaannya yang lama dimana ia merupakan rumah pertama yang dibina untuk manusia.

 

 

KISAH TENTERA BERGAJAH

Abrahah telah membina sebuah gereja di San’a (yang dinamakan al-Qalis) dimana pada masa tersebut tidak terdapat gereja seumpamanya. Abrahah telah menulis surat kepada raja Najasyi yang berbunyi: Sesungguhnya aku telah membina untuk kamu sebuah gereja yang tidak pernah dibina seumpamanya kepada mana-mana raja sebelum kamu. Aku tidak akan tenang sehinggalah orang-orang Arab datang mengerjakan Haji di sini. Apabila orang-orang Arab memperkatakan tentang surat Abrahah kepada raja Najasyi, perkara ini menimbulkan kemarahan seorang lelaki dari Kinanah lalu pergi ke al-Qalis dan membuang najis di dalamnya secara sembunyi, kemudian kembali kepada kaum keluarganya. Perkara itu telah disampaikan kepada Abrahah dan telah menimbulkan kemarahannya lalu bersumpah untuk menghancurkan Kaabah.

Beliau memerintahkan tentera Habsyah untuk bersiap sedia dan setelah bersedia, Abrahah serta tenteranya terus keluar dengan membawa gajah. Apabila orang-orang Arab mengetahui hasrat Abrahah untuh menghancurkan Kaabah, mereka merasa gerun dan takut. Abrahah mengutus seorang lelaki Habsyah yang bernama Al-Aswad bin Mafsud bersama tentera berkudanya sehingga sampai di Mekah, lalu meminta tebusan daripada kaum Quraisy dan yang lainnya, di antaranya dua ratus ekor unta kepunyaan Abdul Muttalib bin Hasyim (ketua kaum Quraisy pada masa tersebut). Kaum Quraisy, kaum Kinanah, kaum Huzail dan kaum yang tinggal berhampiran dengan Tanah Haram telah berazam untuk memeranginya tetapi setelah menyedari mereka tidak mempunyai kekuatan, mereka membiarkan perkara tersebut begitu saja. Abrahah juga telah mengutus Hannatah Al-Himyari ke Mekah sambil berpesan kepadanya: Tanyalah ketua atau pembesar negeri ini, kemudian katakan kepadanya, raja telah berpesan kepadaku bahawa, aku datang bukan untuk memerangi kamu tetapi untuk menghancurkan Kaabah ini, sekiranya mereka tidak menghalangi kami, maka aku tidak akan memerangi kamu, sekiranya dia tidak mahu memerangi aku, bawalah dia kepadaku.

Apabila Hannatah memasuki Mekah, beliau bertanyakan tentang ketua atau pembesar negeri tersebut. Dia telah diberitahu bahawa ketua negeri tersebut ialah Abdul Muttalib bin Hasyim, dia terus menemuinya dan memberitahu apa yang diperintahkan oleh Abrahah. Abdul Muttalib berkata kepadanya: Demi Allah! Sesungguhnya kami tidak mahu memeranginya, kami tidak mampu untuk melawannya. Ini adalah Baitullah al-Haram dan Baitu Ibrahim Al-Khalil a.s (atau sebagaimana yang diriwayatkan). Sekiranya Dia menghalangnya maka ini adalah rumahNya sekiranya Dia (Allah) membiarkannya, Demi Allah, kami tidak berkuasa mempertahankannya. Lalu Hannatah berkata kepadanya, marilah bersama aku untuk mengadap Abrahah, kerana beliau telah memerintahkan aku untuk membawa kamu kepadanya. Hannatah berangkat bersama Abdul Muttalib dan pengikutnya, apabila sampai di kawasan yang bernama al-Askar, beliau bertanya tentang Zu Nafar iaitu sahabatnya. Apabila masuk menemuinya di dalam penjara, Hannatah bertanya: Wahai Zu Nafar! Apakah kamu mempunyai suatu perantaraan atau penyelesaian yang dapat menolong kami? Zu Nafar menjawab: Apakah ada perantaraan atau penyelesaian daripada seorang lelaki tahanan raja yang menunggu hukuman mati samada siang hari atau malam hari seperti aku ini? Aku tidak mempunyai perantaraan atau penyelesaian untuk menolong apa yang telah berlaku kepada kamu kecuali sahabatku Anis, seorang pengembala gajah. Aku akan mengutusinya dengan memberi pesanan tentang diri kamu dan juga kelebihan yang ada pada kamu. Aku juga akan meminta kepadanya agar meminta keizinan untuk kamu daripada raja supaya kamu dapat mengadap dan berbicara dengan raja tentang apa yang berlaku kapada kamu. Dia akan menjadi perantaraan yang baik dengan raja, sekiranya dia mampu melakukan sedemikian, katakanlah cukuplah bagiku.

Setelah itu Zu Nafar mengutusi Anis dengan katanya, Abdul Muttalib adalah ketua kaum Quraisy dan pembesar Mekah, dialah yang memberi makan kepada orang ramai pada semua peringkat samada yang tinggal di kawasan wadi atau kawasan perkampungan badwi di bukit-bukit. Sesungguhnya raja telah mengambil dua ratus ekor unta miliknya, oleh itu mintalah keizinan dan manfaat untuknya daripada raja sekadar yang kamu mampu. Anis menjawab: Aku akan melakukannya. Lalu Anis menyampaikan perkara tersebut kepada Abrahah dengan berkata: Wahai raja! Ini adalah ketua kaum Quraisy berada di hadapan kamu, dia datang untuk meminta izin kepada kamu, dia juga merupakan pembesar negeri Mekah yang sentiasa memberi makan kepada orang ramai pada semua peringkat samada yang tinggal di kawasan wadi atau kawasan perkampungan badwi di bukit-bukit. Aku meminta izin daripada kamu agar dia dapat memberitahu kamu apa yang dihajatinya. Lalu Abrahah mengizinkannya. Abdul Muttalib adalah seorang yang tampan, perkasa dan cantik rupa parasnya. Apabila Abrahah melihatnya dia meraikan dan memuliakannya lalu meminta supaya Abdul Muttalib duduk bersamanya tetapi kaum Habsyah yang berada bersama dengannya tidak suka melihat Abdul Muttalib dijemput oleh raja untuk duduk bersama di atas singgahsana kerajaannya, lalu Abrahah turun dari singgahsananya dan menjemput Abdul Muttalib duduk bersama di sampingnya. kemudian Abrahah berkata kepada penterjemahnya: Katakanlah kepadanya: Apa yang kamu hajati? Lalu penterjemahnya menyampaikan apa yang diperkatakan oleh Abrahah. Abdul Muttalib berkata: Hajatku ialah supaya raja dapat memulangkan kembali dua ratus ekor unta yang dirampas daripadaku.

Apabila perkara tersebut disampaikan kepada Abrahah, dia berkata kepada penterjemahnya: Katakan kepadanya, aku merasa amat kagum ketika pertama kali melihat kamu tetapi ia hilang lenyap setelah kamu bercakap kepadaku. Apakah kamu hanya berbicara tentang dua ratus ekor unta yang aku rampas daripada kamu, sedangkan kamu meninggalkan Kaabah yang menjadi pegangan agama kamu dan bapa-bapa kamu. Aku datang untuk menghancurkannya tetapi kamu tidak pula bercakap denganku tentangnya? Lalu Abdul Muttalib menjawab: Aku adalah tuan unta tersebut, manakala Kaabah tersebut ada tuan yang akan melindunginya. Abrahah berkata: Tidak ada siapa yang dapat menghalang aku untuk menghancurkannya. Abdul Muttalib berkata kepadanya: Biarlah kamu dengan keadaan kamu. Untu-unta tersebut dipulangkan kembali kepada Abdul Muttalib. Setelah itu Abdul Muttalib pulang kepada kaum Quraisy lalu menceritakan kisah pertemuannya dengan Abrahah dan memerintahkan mereka agar keluar dari Mekah dan berlindung di atas bukit. kemudian Abdul Muttalib mengunci pintu Kaabah dan beberapa orang lagi dari kaum Quraisy bersama dengan Abdul Muttalib berdoa kepada Allah semoga mengalahkan Abrahah dan tenteranya.

Apabila menjelang pagi, Abrahah mula bersedia dengan gajah dan tenteranya untuk memasuki Mekah dimana gajahnya bernama Mahmud. Setelah mereka mengarahkan gajah menuju ke Mekah, mereka telah bertemu dengan Nufail bin Habib. Beliau berdiri di sebelah gajah tersebut kemudian memegang telinganya lalu berkata: Duduklah Mahmud dan kembalilah semula ke tempat kamu datang, sesungguhnya kamu berada di negeri yang diharamkan oleh Allah. Kemudian beliau melepaskan telinga gajah tersebut, lalu gajah tersebut terus duduk. Mereka memukul gajah tersebut supaya bangun tetapi ia enggan berbuat demikian. Kemudian mereka mengarahkan gajah tersebut kembali ke Yaman, lalu ia terus bangun dan berjalan ke arah tersebut. Setelah itu mereka mengarahkannya ke Syam, gajah tersebut juga berjalan sebagaimana diarahkan. Mereka mengarahkan pula menuju ke arah Masyrik (timur), lalu gajah tersebut berjalan sebagaimana diarahkan. Setelah itu mereka mengarahkan semula menuju ke arah Mekah tetapi gajah tersebut terus duduk. Lalu Allah mengutuskan kepada mereka sekumpulan burung seumpama burung layang-layang dimana setiap seekor membawa tiga biji batu, sebiji di paruh dan dua biji lagi di kakinya. Batu tersebut seperti kacang kuda dan kacang dal, sesiapa sahaja yang terkena akan hancur dan binasa. Tidak semua yang binasa di tempat tersebut, mereka telah keluar dari kawasan tersebut tetapi rebah bergelimpangan di setiap jalan lalu mati dalam keadaan yang penuh dahsyat. Abrahah terkena lontaran batu tersebut di badannya, mereka membawanya dalam keadaan jari-jarinya terputus tetapi apabila tiba di San’a, Abrahah meninggal dunia di sana.

 

PERMULAAN WAHYU

 

Saidatina Aisyah r.a berkata: Wahyu Pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w bermula dengan mimpi yang baik di dalam tidurnya, baginda melihat (sesuatu) di dalam mimpinya seperti cahaya fajar sebelum terbit matahari dan setelah itu baginda suka mengasingkan diri. Baginda mengasingkan diri dan beribadat di Gua Hira’ selama beberapa malam sebelum pulang kepada keluarganya untuk mengambil bekalan. Apabila bekalan habis, baginda pulang menemui Khadijah untuk mengambilnya lagi, sehinggalah malaikat datang ketika baginda berada di Gua Hira’ tersebut lalu berkata: Bacalah. Baginda menjawab: Aku tidak tahu membaca? Kata baginda lagi: Malaikat memelukku sehingga aku terasa susah untuk bernafas, kemudian melepaskan aku lalu berkata: Bacalah. Aku menjawab: Aku tidak tahu membaca? Malaikat memelukku buat kali yang kedua sehingga aku terasa susah untuk bernafas, kemudian melepaskan aku lalu berkata: Bacalah. Aku menjawab: Aku tidak tahu membaca? Dia memelukku buat kali yang ketiga kemudian melepaskanku lalu berkata: Yang bermaksud: (Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pen dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya).

Rasulullah s.a.w pulang dengan hati yang gementar, lalu terus masuk menemui Khadijah binti Khuwailid (isteri baginda) dengan berkata: Selimutkan aku, selimutkan aku. Khadijah terus menyelimutinya sehingga hilang perasaan gementar. Baginda menceritakan kepada Khadijah peristiwa yang berlaku dengan katanya: Sesungguhnya aku merasa takut terhadap apa yang menimpa diriku. Khadijah berkata: Tidak sama sekali. Demi Allah! Sesungguhnya Allah tidak akan menyusahkanmu selama-lamanya, kerana kamu telah menghubungkan silaturahim, menolong orang ramai, memberi belanja kepada orang yang harta, memuliakan tetamu dan menyebelahi orang yang benar. Setelah itu Khadijah membawa Rasulullah s.a.w menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah yang beragama Nasrani pada masa jahiliah. Beliau menulis kitab ke dalam bahasa Ibrani dan telah menterjemahkan kitab Injil ke dalam bahasa Ibrani. Beliau seorang yang telah tua lagi buta. Khadijah berkata kepadanya: Wahai sepupuku! Dengarlah apa yang akan diperkatakan oleh anak saudara kamu ini (Rasulullah). Lalu Waraqah berkata kepada baginda: Wahai anak saudaraku! Apakah yang telah kamu lihat. Rasulullah s.a.w menceritakan peristiwa yang telah berlaku ke atas diri baginda. Waraqah berkata kepada baginda: Itulah Malaikat yang telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa, mudah-mudahan aku masih hidup ketika kamu berada dalam keadaan sedih kerana dihalau oleh kaum kamu. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Apakah mereka akan menghalau aku? Beliau menjawab: Ya. Setiap lelaki yang didatangkannya (Wahyu) akan dimusuhi, sekiranya aku mampu untuk menolong kamu pada hari itu nescaya aku akan menolong kamu secara bersungguh-sungguh, tetapi Waraqah bin Naufal tidak sempat bersama kerana beliau meninggal dunia ketika Wahyu diberhentikan buat sementara waktu.

 

 

SEMPADAN TANAH HARAM MAKKAH
Tan’im              : Jalan menuju ke Madinah sejauh 6 km dari Mekah.

Wadi Nakhlah   : Di timur laut sebelah Iraq dan jaraknya dengan Mekah sejauh 41 km.

Ja’ranah           : Di sebelah timur sejauh 16 km.

Adhah              : Jalan menuju ke Yaman dan jaraknya dengan Mekah sejauh 12 km

Hudaibiyah       : Di sebelah barat jalan ke Jeddah dan dinamakan sekarang ini dengan

                            Asy-Syamisi sejauh 15 km dari Mekah.

 

Al-A’lam (tanda) ialah: Batu-batu yang dipahat setinggi satu meter kemudian diletakkan di tepi jalan-jalan tersebut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s